KUCHING, 28 Januari 2026 – Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa golongan wanita melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2026–2030, yang menjadi kerangka dasar penting ke arah pembangunan wanita secara holistik dan berstruktur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, dasar dan pelan tindakan tersebut menekankan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, pengukuhan tahap keselamatan serta perlindungan sosial, di samping mempertingkat kesejahteraan wanita secara berterusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan yang digariskan amat bertepatan dengan aspirasi pembangunan negara yang menekankan prinsip inklusiviti, keadilan sosial dan keseimbangan wilayah, selain mengambil kira keperluan pembangunan Sarawak yang bersifat majmuk dari segi geografi dan demografi.
Tambah beliau, aspek kesejahteraan sosial dan perlindungan wanita turut diberi penekanan khusus oleh Kerajaan Sarawak. Selain memperkukuh penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, kerajaan juga menitikberatkan perlindungan kebajikan dan keselamatan wanita, terutamanya bagi golongan rentan yang memerlukan sokongan berterusan.
Mengulas lanjut, beliau memetik dapatan Indeks Kebahagiaan Rakyat tahun 2024 yang menunjukkan wanita di Sarawak merekodkan skor kebahagiaan lebih tinggi berbanding lelaki, iaitu 7.54 berbanding 7.52.
“Wanita yang sejahtera dari segi fizikal, mental dan emosi akan membentuk institusi keluarga yang lebih kukuh serta masyarakat yang lebih berdaya tahan. Usaha ini memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, agensi pelaksana serta masyarakat sivil, selaras dengan semangat ‘Segulai Sejalai’,” tambahnya.
Seiring perkembangan era pendigitalan, beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem sokongan sosial, termasuk memperluas akses kepada maklumat, perkhidmatan bantuan, peluang pendidikan serta sokongan kesihatan mental khusus untuk wanita.
Pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2026–2030 ini diharap dapat mempercepat usaha memperkasa wanita Sarawak secara inklusif dan mampan, sekali gus memastikan golongan wanita terus menjadi rakan strategik dalam arus pembangunan negeri.